Sahabat yang Baik

بسم الله الر حمن الر حيم
 السلام عليكم ورﺤﻤﺔ الله وبرﮑﺘﻪ

 
Apakah ciri-ciri seorang sahabat yang baik? Seorang bijak pandai berpesan kepada anak lelakinya: “Wahai anakku, sekiranya engkau berasa perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang yang sifatnya seperti berikut:

• Jika engkau berbakti kepadanya, dia akan melindungi kamu;

• Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, dia akan membalas balik persahabatan kamu;

• Jika engkau memerlu pertolongan daripadanya, dia akan membantu kamu;

• Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, dia akan menerimanya dengan baik;

• Jika dia mendapat sesuatu kebajikan (bantuan) daripada kamu, dia akan menghargai atau menyebut kebaikan kamu;

• Jika dia melihat sesuatu yang tidak baik daripada kamu, dia akan menutupnya;

• Jika engkau meminta bantuan daripadanya, dia akan mengusahakannya;

• Jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta), dia akan menayakan kesusahan kamu;

• Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, dia akan meringankan kesusahan kamu;

• Jika engkau berkata kepadanya, nescaya dia akan membenarkan kamu;

• Jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya dia akan membantu kamu;

• Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya dia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan.

• Dia membantumu menunaikan tanggungjawab serta melarang melakukan perkara buruk dan maksiat

• Dia mendorongmu mencapai kejayaan didunia dan akhirat.

      Oleh itu sahabat-sahabat ku sekalian, berbijaksanalah dalam memilih kawan atau seorang sahabat. Seorang sahabat adalah cermin keperibadian kepada kita. Dengan siapa kita bersahabat itulah diri kita. Kadang-kadang kita seperti tersilap percaturan dalam memilih sahabat tetapi mungkin itu bukan silap kerana itulah ketentuan yang telah ditetapkan oleh Yang Khalik yakni pencipta kita, Allah SWT. Allah mahu menguji kita dalam soal persahabatan. Adakah kita benar2 ikhlas bersahabat kerana Allah atau kita sekadar mahu mengambil kesempatan. Jadilah sahabat yang baik kepada orang lain. Kita memberi bukan untuk menerima tetapi jika kita benar2 ikhlas memberi kita akan mendapat balasan yang baik walaupun bukan kita pinta. sekian sedikit coretan dari saya. InsyaAllah bertemu lagi ... =)

~MENGEMIS KASIH~

بسم الله الر حمن الر حيم
السلام عليكم ورﺤﻤﺔ الله وبرﮑﺘﻪ 


TUHAN…
Dulu pernah aku menagih simpati
kepada manusia yang lupa jua buta
lalu terheretlah aku di lorong gelisah
luka hati yang berdarah kini jadi kian parah

Semalam sudah sampai ke penghujungnya
kisah seribu duka kuharap sudah berlalu
tak ingin lagi kuulangi kembali
gerak dosa yang menghiris hati

TUHAN…
Dosaku menggunung tinggi
tapi rahmat-MU melangit luas
harga selautan syukurku
hanyalah setitis nikmat-MU di bumi

TUHAN…
Walau taubat sering kumungkir
namun pengampunan-MU tak pernah bertepi
bila selangkah kurapat pada-MU
seribu langkah KAU rapat padaku

~SAAT BERPISAH~

بسم الله الر حمن الر حيم
السلام عليكم ورﺤﻤﺔ الله وبرﮑﺘﻪ


     Saat perpisahan itu pasti tiba. Dan tidak ada masa yang sesuai untuk saat itu. Kita datang tidak diminta,kita pulang tidak diduga. Bila sanggup hidup mesti sanggup mati. Bila sanggup datang mesti sanggup pulang. Kita hanya menghabisi bilah-bilah hari yang telah ditentukan. Tujuan ke sini untuk diuji… tiba masanya pasti kembali!


     Mengapa terlalu enggan untuk berpisah? Nikmat sangatkah dunia ini? Padahal susah senang bertukar ganti, suka dan duka datang dan pergi. Tidak ada yang kekal lama, semuanya bersifat sementara. Jika mati tidak memisahkan, kesenangan ini akan pergi jua.


     Kata mereka yang arif tentang kehidupan:


“Manusia lahir bersama tangisan, dicelahi kehidupannya oleh tangisan dan akan dihantar ke pusara dengan tangisan.”


     Pernahkah ada kesenangan yang abadi dan hakiki? Tidak ada. Justeru hiduplah berpada-pada. Hiduplah bagai musafir lalu yang singgah bagaikan dagang di rantau orang. Hatinya tetap merindui kampung halaman. Hiduplah bagai orang yang sedang menyeberangi jambatan. Tidak sudi berlama-lama di situ kerana di situ hanya sementara. Kakinya melangkah kencang justeru jiwanya sudah ada di seberang.


     Hidup mesti sederhana kerana dunia ini sementara. Sederhana itu bukan pada ringgit atau harta tetapi pada jiwa dan rasa. Jangan terlalu gembira, jangan juga terlalu berdukacita.


     Tidak ada kesenangan yang tidak diiringi kesukaran dan tidak ada kesukaran yang tidak diiringi kesenangan. Selepas ketawa, pasti menyusul air mata. Selepas nestapa, pasti kegembiraan menjelma. ALLAH memberikan kita terang untuk bersyukur. ALLAH berikan gelap untuk kita bersabar. 


     Jadilah insan lara yang temannya mujahadah dan taubat. Sentiasalah berusaha menjadi insan yang baik walaupun digamit oleh ghairah kejahatan dan dosa. Jatuh, bangun kembali. Jatuh, bangun lagi.


     Ukirlah seribu taubat walaupun telah berkali-kali ia dimungkiri. ALLAH tidak akan jemu dengan taubat hamba-NYA selagi kita tidak putus asa kepada-NYA. Tempuhi jalan mujahadah walaupun langkahmu pernah goyah. Jangan mengalah. Kau tidak akan kalah selagi tidak mengalah. 


     Luruskan jalan menuju TUHAN dengan tulusnya hati sesama insan. Elakkan hasad, jauhi mengumpat. Jika tidak mampu menambah, jangan mengurang. Jika tidak mampu menjulang, jangan menghalang. Ingat selalu kata hukama:

“Jika tidak mampu menjadi garam yang memasinkan ikan, jangan jadi lalat yang membusukkannya.”


     Jika tidak mampu mengucapkan perkataan yang baik, banyakkan diam. Jika memberikan nasihat terlalu berat, cukuplah dengan menghulurkan doa dan munajat. Setiap kita mempunyai kelebihan. Kata orang, TUHAN tidak mencipta manusia bodoh. TUHAN mencipta manusia dengan kebijaksanaan yang berbeza.


     Justeru, carilah apakah ‘kebijaksanaan’ itu kerana itulah saluran untuk kita berbakti. Ketika rasa takut singgah oleh kebimbangan dijemput maut… katakanlah pada diri, bila kita berhadapan dengannya kita akan lupa segala-galanya. Kesayangan yang kita takutkan kehilangannya, kecintaaan yang kita bimbangkan berpisah dengannya, akan menjadi sedebu apabila berhadapan dengan detik itu. 


     Kita akan terlupa jalan yang telah jauh kita tinggalkan di belakang kerana mamandangkan jalan yang lebih jauh merentang di hadapan. Nikmat di dunia akan kita lupakan sebaik sahaja melihat azab di akhirat. Dan azab di dunia akan kita lupakan setelah melihat nikmat di akhirat.


     Sesungguhnya mati itu bukan satu pengakhiran tetapi ia satu permulaan kepada kehidupan yang lebih sejati dan hakiki. Mati itu hanya proses perpindahan- dari alam dunia ke alam barzakh. Sama seperti kelahiran- proses berpindah dari alam rahim ke alam dunia.


     Ya, kalau sanggup datang mesti sanggup pulang. Hati sewajarnya sentiasa berasa bertemu tak jemu, berpisah tak gelisah. Bukankah kita bertemu untuk berpisah? Dan berpisah untuk bertemu? Semoga kembara kita di dunia akan tiba bersama di hujung destinasinya… syurga!

Pada kita, cuma pasrah…


Ustaz Pahrol Mohd Juoi- DI MANA DIA DI HATIKU?

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 tertimbus terbenam |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights